Kerajaan sewajarnya meminta universiti-universiti tempatan menjalan kajian terperinci tentang baik atau buruk cadangan mengkomersialkan daum ketum sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Setakat ini, baik atau buruk kegunaan daun ketum dalam perubatan tradisional tidak dapat dibuktikan kerana daun herba ini sering kali diberi stigma negatif.
Lantaran itu, menanam, membawa atau memiliki daun ketum didapati menyalahi undang-undang di bawah Akta Racun.1952.
Daun ketum yang menghasilkan air ketum seringkali dikaitkan dengan ketagihan tetapi sehingga hari ini belum ada kajian yang membuktikan air ketum jika diminum tanpa dicampurkan akan menyebabkan ketagihan.
Bagaimanapun, kesannya berbeza jika mencampurkan air ketum yang direbus dengan air berkarbonat, ubat batuk, ubat nyamuk atau ubat gegat untuk mendapat kesan khayal yang tinggi, meskipun campuran itu adalah racun kepada tubuh.
Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr. Rusdi Abd. Rashid berkata, ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah tumbuhan herba yang digunakan secara tradisional untuk merawat sakit sendi, membunuh cacing dan merawat cirit-birit.
Para penternak juga menggunakan daun ketum bagi haiwan peliharaan agar dapat membunuh cacing hingga menjadikan ternakan gemuk. Selain itu, daun ketum turut digunakan sebagai penahan sakit, mengurangkan kerisauan dan antiseptik.
Kepelbagaian kegunaan daun ketum dalam perubatan menyebabkan pokok herba ini dieksport oleh Eropah dan Amerika Syarikat.
"Sebab itu apabila Risda berhasrat untuk mengkomersialkan tanaman pokok itu, pada pandangan saya, ia tidak sepatutnya dijadikan halangan.
"Bagaimanapun, kita perlu faham sentimen kerajaan yang khuatir tanaman ketum ini akan dijadikan bahan ketagihan," katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau yang terlibat dalam kajian kesan daun ketum dalam kemurungan pada tahun 2010 di Alor Setar dan Kuala Kedah mendapati 60 peratus pengguna air ketum adalah dalam kalangan penagih dadah opiat bagi mengurangkan kesan ketagihan.
Sebanyak 20 peratus lagi golongan tua yang mengalami sakit sendi dan bakinya dalam kalangan pelajar sekolah dengan tujuan berseronok.
Katanya, golongan penagih dadah opiat menggunakan daun ketum dalam mengatasi ketagihan dan penggunaan daun ini sebenarnya lebih baik daripada methadone yang menyebabkan najis keras, toksik dan bahaya pada peringkat awal pengambilan serta kos lebih tinggi.
Dr. Rusdi berkata, pengambilan daun ketum dalam kalangan penagih dadah inilah menyebabkan masyarakat telah memberi pandangan negatif terhadap daun itu walaupun penggunaannya dalam perubatan tradisional bukan baru.
Beliau akui, kebanyakan penagih heroin mengambil air ketum untuk mengurangkan ketagihan kerana daun ini mengandungi alkolaid bahan dalam ubat batuk dan ubat mengantuk serta agen stimulant yang memberi tenaga.
Namun kandungan daun ketum yang mempunyai urat putih, hijau dan merah adalah berbeza.
Beliau yang pernah sekali merasai air ketum semasa menjalankan kajian memberitahu, rasa airnya sangat pahit dan apabila diminum badan rasa segar.
Berpengalaman bertugas sebagai doktor perubatan di Kedah sebelum ini, Dr. Rusdi berkata, dulu ada pesakitnya yang mendakwa mengambil air ketum untuk mengawal kencing manis sehingga tidak perlu mengambil ubat.
"Masalah daun ketum ini berlaku apabila penagih menggunakannya, sedangkan setakat ini saya tidak pernah didatangi pesakit kerana ketagih ketum," ujarnya.
Beliau berpendapat, cadangan Risda untuk mengkomersialkan ketum untuk eksport wajar diberi pertimbangan mengambil kira kejatuhan harga getah.
"Saya percaya sudah tentu ada kebaikan daun ini sebab itu ia wujud di muka bumi itu dan khusus di sebelah utara, lantaran itu kajian terperinci mengenai kegunaan daun ketum perlu dilakukan.
"Dan bukannya kita tebang semua pokok ketum yang ada, semata-mata untuk menangani ketagihan, pupuskan anugerah yang Allah kurniakan. Kita boleh gunakannya cuma jangan salah guna.
"Ubat-ubat lain pun kalau diambil secara tidak betul juga membahayakan.
"Thailand sudah lama eksport daun ini. Risda juga boleh buat demikian, mungkin lagi mudah untuk mengawalnya jika untuk eksport semata-mata, " tambahnya.
Sumber: Malaysiagazette