Bestnya Balik Kampung! Tapi Pastikan Tak Tertinggal Buat 5 Perkara Ini
Wah, tinggal beberapa hari sahaja lagi tibanya Syawal! Kini tiba masanya warga kota terutamanya yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman masing-masing. Sebagai anak perantau, aku juga tidak ketinggalan untuk pulang ke kampung. Pastinya hati melonjak-lonjak untuk balik bertemu ibu bapa dan saudara-mara.
Apa yang syoknya apabila dekat nak raya ini, pesta balik kampung akan bermula dan berduyun-duyunlah kenderaan di lebuh raya. Sungguhpun berlakunya kesesakan jalan raya, namun itulah momen yang indah. Tak percaya, tanyalah kepada mereka yang merasainya saban tahun ketika mahu pulang berhari raya.
Paling indah, sudah tentulah sambil memandu mendengar lagu-lagu raya di corong radio. Terbayang-bayang wajah bonda dan ayah di mata. Syahdunya ketika itu. Namun, dalam kita teruja untuk pulang ke kampung, jangan abaikan keselamatan. Pandulah dengan berhati-hati. Bak kata orang, biar lambat asalkan selamat.
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan dalam keadaan baik. Ikutilah jadual waktu perjalanan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib agar dapat mengurangkan kesesakan jalan raya. Bagi yang mengantuk dan penat, berhenti dahulu di mana-mana hentian rehat atau stesen minyak.
Di sini, sebagai tanda prihatin aku pada kalian semua, jom sama-sama kita baca tip balik kampung ini agar perjalanan lancar dan selamat. Selamat hari raya dan pulang ke kampung!
1.Pastikan keselamatan rumah dengan sempurna
Sungguhpun kita tak fikir sangat perkara buruk berlaku namun lebih baik berjaga sebelum terkena. Suis elektrik yang tidak digunakan tutup sahaja. Pasang lampu sama ada di dapur atau porch kereta. Jika ada mangga dan kunci tambahan gunakan sahaja supaya menyukar si pencuri pecah masuk rumah. Jangan lupa pesan dengan jiran atau telefon polis untuk memaklumkan kalian pulang kampung.
2. Servis kenderaan sebaik yang mungkin
Hantar sahaja ke kedai servis kereta yang dipercayai. Memang tindakan ini memerlukan belanja tetapi soal keselamatan dan nyawa tiada kompromi.Sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian dah tak berguna. Orang kata beringat sebelum kena. Malah servis kereta boleh memberi ketenangan fikiran ketika dalam perjalanan terutama perjalanan yang terlalu jauh. Minyak pun boleh dijimatkan.
3. Pemandu perlu rehat yang mencukupi
Seandainya si suami jadi pemandu maka elok sangat untuk tidur awal. Sebagai pemandu jarak jauh perlu ada pembantu supaya keletihan tidak terasa sangat. Lebih baik bertukar-tukar pemandu supaya masa rehat mencukupi. Orang kata tak boleh memandu selama 5 jam berterusan.
4. Pandu secara berhemah tanpa berlagak samseng
Satu sikap pemandu di negara kita yang kurang manis dipandang ialah berlagak samseng. Mereka bertindak angkuh dengan memandu laju, memotong tanpa isyarat dan menukar laluan sesuka hati. Perlu ingat memandu secara berhemah akan dipuji dan didoakan baik-baik oleh pemandu lain. Sebaliknya pemandu samseng akan disumpah-seranah oleh pemandu lain.
5. Berhenti rehat seandainya penat dan mengantuk
Jangan paksa diri memandu seandainya terasa mengantuk semata-mata mahu sampai cepat ke destinasi. Cari mana-mana hentian rehat atau stesen minyak untuk berehat. Memandangkan bulan puasa, bagi yang balik pada siang hari, basuh muka anda agar segar semula. Manakala yang balik malam, berhenti untuk minum kopi dahulu.
0 comments:
Post a Comment